Monday, July 7, 2008

Pelancaran Program Kewangan Mikro Bandar

Pada 25 Jun 2008, suatu majlis Pelancaran Program Kewangan Mikro Bandar telah diadakan di perkarangan PPR Sri Semarak Setapak, Kuala Lumpur. Program anjuran Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) ini dirasmikan oleh Y.B. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan kedua. Pihak penganjur telah menjemput Yayasan Strategik Sosial sebagai rakan kongsi program Kewangan Mikro Bandar dan sebagai wakil masyarakat India. En. K. Barmasevam, Pengarah Projek Khas YSS dan En. SP.Karuppiah, Penolong Pengarah YSS telah menghadiri progam pelancaran tersebut.

Y.B. Menteri, ketika berucap telah memaklumkan bahawa program Kewangan AIM sebelum ini telah tertumpu kepada kawasan luar bandar dan kini kerajaan telah bercadang untuk membantu masyarakat di bandar melalui kegiatan-kegiatan ekonomi kecil yang boleh menambahkan pendapatan. Ramai telah berjaya melalui skim kewangan AIM ini dan sebagai peringkat permulaan di Kuala Lumpur seramai 25 orang wanita telah diberi modal pembiayaan sebanyak RM 3,000 untuk memulakan perniagaan dan mereka telah menerima cek daripada Y.B. Menteri. Beliau juga menggalakkan kaum lelaki terlibat dalam program Kewangan Mikro Bandar di Kuala Lumpur kerana setakat ini yang terlibat adalah kaum wanita sahaja.

YB. Menteri juga telah menerangkan peranan kerajaan dalam membantu masyarakat Malaysia berbilang kaum yang berada di tahap kemiskinan. Sumbangan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia mengurangkan kesan ekonomi dan inflasi khasnya melalui subsidi untuk minyak petrol dan disel telah turut diterangkan dalam ucapannya.

Sebagai tindakan susulan daripada majlis pelancaran tersebut Yayasan Strategik Sosial selaku rakan kongsi AIM untuk memperkenalkan Program Kewangan Mikro Bandar kepada masyarakat India di Kuala Lumpur, telah bercadang untuk menjemput para pemimpin kejiranan dari kawasan-kawasan kejiranan untuk hadir ke suatu mesyuarat taklimat mengenai AIM dan Program Kewangan Mikro Bandar bertempat di Bilik Mesyuarat Yayasan Strategik Sosial pada 3 Jun 2008.

Melalui kerjasama dengan pemimpin kawasan kejiranan Kuala Lumpur, Yayasan Strategik Sosial telah bercadang untuk mengenal pasti peserta berpotensi untuk membentuk kumpulan yang merangkumi lima orang ahli di setiap tempat kejiranan sepertimana syarat dan prosedur AIM untuk mengikuti program Kewangan Mikro Bandar dan mendapat manfaat daripadanya.

En. Barmasivam, Pengarah Projek Khas YSS telah pun mengadakan pertemuan dengan pegawai AIM dan pegawai AIM sendiri akan hadir bersama untuk mesyuarat taklimat kepada pemimpin kejiranan anjuran YSS.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat mengenai Program Kewangan Mikro Bandar AIM, sila hubungi

En. SP. Karuppiah - Tel 016-6271652.

source : www.YSS98.com

No comments: